Template by:
Free Blog Templates

Photobucket

Tuesday, August 4, 2009

METODE DAKWAH : GOLONGAN WANITA

KETANDUSAN PENDAKWAH WANITA

Wanita memainkan peranan yang cukup signifikan dalam pembentukan sesebuah keluarga. Adakalanya wanita berperanan sebagai seorang anak kepada ibu dan bapanya, menjadi seorang isteri kepada suaminya dan menjadi seorang ibu kepada anak-anaknya. Wanita juga merupakan penggerak yang komited dalam menjalankan kerja-kerja di pejabat dan ‘boss’ yang cukup teliti dengan hasil kerja kakitangannya. Golongan wanita dwikerjaya di negara kita semakin meningkat dan golongan ini menghadapi banyak kekangan dan cabaran. Di antaranya ialah kesibukan bekerja, kesuntukan masa bersama keluarga dan gejala sosial yang melanda generasi muda dan serta budaya hendonisme yang berleluasa.
Firman Allah Taala yang bermaksud : “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh kepada berbuat kebaikan; dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNYA. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah, Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah At-Taubah:71)

Penghayatan wanita Islam sebagai pendakwah untuk memastikan Islam itu terus menjadi pegangan hidup setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu digali dan digilap. Wanita Islam dikurniakan pelbagai kekuatan seperti kecerdikan minda, keupayaan psikologi, kemahiran pujuk dan rayu serta ketulinan jiwa sebagai ‘murabbiy’. Kekuatan ini mampu menggegarkan jiwa setiap orang yang mendampinginya. Sekiranya keistimewaan ini digunakan di dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah pasti ia akan meninggalkan impak yang positif.

Jumlah wanita Islam yang begitu ramai di Malaysia mengundang kita untuk sama-sama memikirkan kaedah yang terbaik bagi menggerakkan potensi wanita di dalam melaksanakan obligasi dakwah yang mulia ini. Masyarakat Islam di Malaysia hanya bertanggapan bahawa kerja dakwah ini hanya dilakukan oleh golongan-golongan tertentu sahaja seperti ustaz,ustazah, tok imam, tok kadi dan pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM, JIM dan YADIM. Bukankah mengajak ahli keluarga untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup juga merupakan satu dakwah? Atau adakah mendidik anak-anak supaya kenal Islam adalah tanggung jawab ustaz dan ustazah?
CABARAN PENDAKWAH WANITA Dewasa ini, peranan wanita untuk turut aktif dalam melaksanakan tanggung jawab dakwah amat didambakan. Pelbagai golongan wanita yang membawa fahaman anti kepada penghayatan Islam sebenarnya mampu ditangani oleh wanita itu sendiri. Golongan wanita yang memperjuangkan hak persamaan dengan kaum lelaki, menuntut kebebasan dan pelbagai pendekatan yang melambangkan kepada kejahilan di dalam menghayati ajaran Islam yang sebenar. Ditambah pula dengan Isu-isu wanita diperingkat antarabangsa. Isu Feminisme yang tidak pernah berpenghujung. Baru-baru ini Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sewaktu menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu telah mengadakan satu Seminar dan akhirnya mengeluarkan satu resolusi yang bertemakan ”Penghapusan Semua Problematika Kekerasan Terhadap anak Perempuan”. Resolusi ini telah menimbulkan kontroversi sehingga Pertubuhan Islam Antarabangsa yang dianggotai oleh 103 buah Negara Islam menentang akan penerimaan resolusi ini. Di antara resolusi yang dikemukakan ialah anak perempuan yang berusia 18 tahun berhak untuk menentukan jantina sendiri dan hak menetukan pasangan hidup sama ada lelaki atau perempuan. Terang lagi bersuluh, ia benar-benar mencabar nilai dan etika kita sebagai wanita muslimah yang belandaskan kepada kesyumulan Islam.

Pemikiran dan gerakan feminisme telah berjaya membawa satu dogma bahawa “tidak ada apa yang membezakan antara lelaki dan wanita, sekalipun secara semulajadi”. Kehebatan dan keberanian tokoh-tokoh wanita feminisme seperti Fatimah Mernisi (Maghribi), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa’adi (Mesir), Rifaa’t Hasan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) sebenarnya berupaya mempengaruhi wanita Islam di wilayah pengaruh mereka. Tanpa kita sedari, ideologi gerakan pembebasan wanita (woman’s Liberation) di negara barat telah menular masuk secara halusnya di dalam pemikiran masyarakat kita. Penonjolan konsep emansipasi yang dibawa oleh suara lantang wanita-wanita barat ini memperlihatkan kepada kita sudah terdapat ada golongan wanita asia yang cukup komited terhadap kehidupan bebas dan merdeka. Penolakan terhadap nilai-nilai dalam agama mahupun adat resam sesuatu masyarakat dianggap mengongkong perkembangan potensi diri wanita dan pemupukan hasrat ingin mendapat hak dan peluang yang sama rata dengan lelaki di dalam segenap aspek kehidupan merupakan misi yang ingin dicapai.

Eksploitasi kaum wanita di media-media massa juga masih ditakuk yang lama sementara tanggapan bahawa adegan atau babak yang mempunyai unsur-unsur lucah dan cabul di dalam filem atau drama menggambarkan satu nilai kerja seni yang dibanggakan oleh sesetengah pihak. Pemaparan nilai-nilai bangsat negara Barat telah menodai adat-adat ketimuran masyarakat Malaysia terutamanya orang Islam itu sendiri. Ditambah pula rancangan-rancangan televisyen yang tidak melalui proses tapisan dan saringan oleh pihak berauthoriti akan mengakibatkan golongan muda, teruna dan dara akan menjadikan pergaulan bebas, bersekedudukan dan seks bebas sebagai kiblat mereka. Maka lahirlah generasi anak luar nikah dan wanita yang mengalami jangkitan kelamin dan HIV AIDS.



Kesimpulannya, di sinilah wanita berperanan bersama lelaki saling melengkapi di antara satu sama lain agar masalah-masalah yang disebutkan di atas dapat di atasi dengan mengembalikan semula Islam sebagai pegangan hidup. Allahuakbar!!!!

No comments:

Post a Comment

:: Panduan Hidupku ::